Pengambilan Pekerja


Pengambilan pekerja merupakan salah satu bahagian dalam proses mendapatkan sumber manusia sebagai asset sesebuah organisasi. Ianya adalah satu daripada kaedah yang perlu ada dalam Pengurusan Sumber Manusia. Oleh itu, Flippo telah mendefinisikannya sebagai ‘Pengambilan kakitangan merupakan proses mencari bakal calon-calon pekerja yang ditawarkan oleh organisasi’. Manakala Hellriegel & Slocum pula mendefinisikan pengambilan kakitangan sebagai pencarian pekerja-pekerja sama ada dari dalam atau luar organisasi untuk memenuhi kekosongan jawatan. Objektif utamanya ialah untuk mendapatkan pekerja-pekerja yang berkelayakan tinggi dengan kos yang paling rendah.
            Daripada pengertian yang telah dinyatakan di atas maka dapat kita rumuskan bahawa pengambilan pekerja adalah suatu proses pencarian calon yang benar-benar berpotensi dengan jawatan yang ditawarkan. Dalam erti kata lain, ianya adalah suatu kaedah yang digunakan dalam mendapatkan calon-calon yang mempunyai kelayakan yang benar-benar sesuai dengan jawatan yang sedia ada atau yang ditawarkan.

Kaedah Pengambilan Pekerja
Dalam usaha mencapai tujuan tersebut maka beberapa kategori harus diambil perhatian. Antara kategori yang perlu diberi perhatian adalah daripada sumber mana dan kaedah apakah yang perlu dilakukan dalam pengambilan pekerja. Dalam hal ini, kaedah pengambilan harus dititikberatkan kerana daripada kaedah inilah maka kita akan mendapat tenaga sumber manusia sebagai tenaga kerja. Terdapat dua kategori atau kaedah pengambilan iaitu daripada cara pengambilan dalaman dan cara pengambilan luaran. Kedua-dua aspek ini menjadi suatu kaedah yang wajib diketahui oleh pihak Pengurusan Sumber Manusia kerana daripada kaedah inilah maka sumber tenaga kerja akan dapat diperolehi.

Kaedah Pengambilan Dalaman.
Kebanyakan organisasi besar terutamanya, lebih gemar menggunakan kaedah ini iaitu pengambilan kakitangan daripada kalangan para pekerja dalamannya. Ini dapat difahami bahawa kaedah pengambilan dalaman biasanya terdiri daripada pekerja sedia ada. Antara cara yang digunakan adalah:

a.                  Promosi dan Tawaran
Cara ini biasanya digunakan untuk menarik minat para pekerja untuk memohon jawatan yang lebih baik dalam organisasi mereka. Pihak Sumber Manusia akan menawarkan jawatan kepada sesiapa yang berminat dan berkelayakan bagi mengisi kekosongan jawatan. Proses ini adalah digunakan untuk mencari pemohon dalaman yang berkelayakan dan menawarkan mereka dengan jawatan tersebut. Dengan cara ini maka pihak pengurusan dapat memenuhkan kekosongan jawatan tersebut dengan segera. Sebagai contoh, para pekerja akan diberi peluang untuk ditemuduga untuk jawatan yang mereka minat yang mana ianya adalah diperlukan oleh organisasi. Maka, mana-mana pekerja sedia ada yang berminat boleh memohon untuk pengisiannya.

b.                  Rujukan  Atau Cadangan Pekerja
Satu daripada cara yang terbaik untuk mendapatkan pekerja adalah dengan cara rujukan para pekerja. Ini kerana kebiasaannya, setiap orang yang di cadangkan adalah orang yang sesuai dan dipercayai kebolehannya serta kelayakannya. Pencadang biasanya lebih memahami orang yang dicadangkannya dan dapat memberikan butir-butir yang diperlukan oleh syarikat sebagai rujukan. Sebagai contoh, jika pencadang adalah orang yang terbaik dalam organisasi maka cadangannya akan dianggap sebagai satu yang boleh dipercayai. Ini kerana adalah begitu sukar untuk mendapatkan para pekerja yang berkebolehan kecuali melalui rujukan daripada pekerja sedia ada yang mana mereka lebih memahami kebolehan dan kelayakan orang yang dicadangkannya.

c.                  Pertukaran
Pertukaran adalah salah satu cara untuk mengisi jawatan yang amat diperlukan. Namun begitu ia akan sedikit memberi kesan kepada organisasi kerana akan wujud jawatan lain yang mengalami kekosongan. Walau bagaimanapun cara ini adalah suatu kaedah dalaman untuk mencari calon yang sesuai bagi mengisi kekosongan jawatan yang mana berbentuk professional dan amat mendesak. Sebagai contoh, Ianya adalah seperti seorang guru terpaksa ditukarkan ke sekolah yang mana lebih memerlukan pengisian jawatan tersebut dan di tempat jawatan asal guru tersebut dapat dimansuhkan.

d.                  Penempatan Jawatan.
Ini adalah suatu cara yang amat baik digunakan sebagai usaha untuk mengisi jawatan yang kosong dalam sesebuah organisasi. Biasanya, pemberitahuan akan adanya jawatan kosong ini adalah dengan penyampaian makluman daripada pihak pengurusan kepada penyelia untuk disampaikan kepada para pekerja. Sebagai contoh, jika wujudnya kekosongan jawatan di sesebuah jabatan yang berlainan posisi, daerah atau kawasan, maka ianya akan dimaklumkan kepada kakitangan di bahagian lain agar kekosongan itu dapat diisi oleh mana-mana calon pekerja yang berkemahuan dan berkelayakan.

1.1             Kelemahan dan Kelebihan Pengambilan Dalaman.
Antara kelemahan yang wujud daripada kaedah ini adalah ianya akan mengurangkan moral dan motivasi para pekerja yang tidak berjaya. Kekecewaan ini biasanya akan merosakkan reputasi pekerja yang kurang motivasi diri. Selain daripada itu, kelemahan pengambilan dalaman akan mewujudkan jurang perbezaan yang ketara dalam perjawatan antara jabatan yang mana sesetengah jabatan akan mempunyai ramai pekerja manaka yang lainnya adalah sebaliknya ataupun sesetengah jabatan akan mempunyai pekerja terbaik dan jabatan lain akan mempunyai pekerja yang kurang potensinya. Selain daripada itu, kelemahan yang wujud adalah jabatan akan menghadapi pekerja yang kurang idea dan mempunyai gaya pemikiran lama kerana para pekerja sedia ada sudah terbiasa dengan cara atau budaya kerja yang lama. Masalah wujudnya ketiadaan calon yang sesuai juga menjadi satu kelemahan kepada kaedah ini. Ini kerana calon yang berkelayakan untuk jawatan yang ditawarkan barangkali tidak sesuai dengan kerja tersebut. Kelemahan lain adalah wujudnya segelintir penyelia yang sukar melepaskan pekerja bawahan mereka kerana penyelia sudah selesa dengan para pekerja bawahannya yang mana dianggap terbaik. Kelemaha-kelemahan inilah yang mana mungkin menjadi satu penghalang kepada kaedah pengambilan dalaman.

            Secara tidak langsung, kaedah pengambilan dalaman ini juga mempunyai kelebihan. Antara kelebihannya, pihak pengurusan tidak perlu mengeluarkan kos untuk menghantar pekerja tersebut kepada proses induksi kerana pekerja sedia ada telah pun melaluinya. Kos-kos lain juga dapat dijimatkan dengan cara ini. Selain itu, pihak pengurusan tidak memerlukan rujukan lain akan butir-butir diri pekerja tersebut kerana rekodnya telah sedia ada dalam simpanan. Ini memudahkan pihak pengurusan dalam urusan dan tujuan rekod. Kaedah pengambilan dalaman ini juga biasanya lebih pantas dan kurang mahal maka pengisiaan untuk jawatan kosong dapat dilaksanakan dengan segera. Kelebihan lain pula, secara tidak langsung, organisasi akan lebih dipercayai akan jaminan dalam peningkatan taraf jawatan. Ini membuatkan para pekerja sedia ada bermotivasi tinggi untuk mencapai taraf jawatan yang mereka ingini. Dengan kelebihan kaedah pengambilan dalam ini maka beberapa organisasi akan cuba mengadaptasikannya dalam sistem pengambilan pekerja mereka.

 

Kaedah Pengambilan Luaran.
Kaedah pengambilan luaran amat popular di kalangan syarikat-syarikat yang mahukan variasi, idea baru dan perubahan dalam organisasi mereka. Ia juga digunakan apabila kaedah pengambilan dalaman tidak mendapat sambutan ataupun kekosongan jawatan adalah banyak dan memerlukan pengkhususan seperti jawatan pengawal keselamatan, bidang kejurulatihan ataupun jawatan professional yang memerlukan kelulusan dalam bidang-bidang tertentu. Antara kaedah yang digunakan adalah

a.                  Pengiklanan
Pengiklanan adalah satu cara yang paling sesuai dalam kaedah pengambilan luaran. Cara ini adalah dengan mengiklankan jawatan kosong di dalam akhbar-akhbar, media massa dan Internet. Kebiasaanya butiran atau maklumat berkaitan jawatan tersebut akan dipaparkan sekali. Ada juga syarikat yang menggunakan kain banting dan pelekat sebagai tujuan pengiklanan. Dengan cara ini secara tidak langsung ianya akan menarik minat dan mempengaruhi calon-calon untuk memohon jawatan tersebut. Cara ini memberikan pilihan luas kepada pengurusan bagi mendapatkan banyak variasi baru. Pengurusan juga dapat mengambil calon yang benar-benar sesuai dengan kelayakan mereka.

b.                  Syarikat atau Agensi Pekerjaan
Agensi pekerjaan adalah mencakupi agensi kerajaan, agensi swasta dan firma pengurusan pekerjaan. Fungsi ketiga-tiga agensi atau firma ini adalah untuk membantu membekalkan tenaga buruh untuk syarikat atau organisasi yang memerlukan sumber manusia. Ianya membekalkan sumber manusia kepada organisasi kerajaan dan juga swasta. Sebagai contoh, Jabatan Tenaga Rakyat ada menyediakan perkhidmatan ini. Kaedah ini sering digunakan bagi mendapatkan tenaga kerja yang berkelayakan. Kebiasaannya, agensi ini akan melakukan temuduga dan data para pemohon atau tenaga kerja akan disimpan dalam fail yang mana akan dirujuk kembali apabila mana-mana syarikat memerlukan tenaga kerja manusia. Kaedah ini juga sering digunakan oleh syarikat-syarikat yang memerlukan sumber manusia. Kaedah ini adalah tergolong dalam kaedah pengambilan luaran dan ianya amat mudah kepada syarikat atau organisasi apabila diperlukan.

c.                  Latihan Pusat Pengajian.
Kebanyakan pusat pengajian ada menjalankan operasi penyediaan pelajar yang berkelayakan kepada syarikat yang memerlukan. Kaedah ini juga digunakan bagi mendapatkan tenaga kerja yang bersesuaian dengan kelayakan pembelajaran mereka. Biasanya syarikat yang memerlukan sumber manusia akan merujuk kepada intitusi akademik bagi mendapatkan tenaga kerja yang sesuai dengan jawatan yang perlu diisi kekosongannya. Sebagai contoh, syarikat kontraktor akan membuat rujukan tenaga kerja di pusat-pusat latihan kejuruteraan bagi mendapatkan calon pekerja yang mempunyai kelayakan dalam bidang jurutera. Maka kaedah ini amat sesuai untuk mendapatkan tenaga kerja yang mana kekosongan jawatan itu memerlukan pengkhususan tugas.

d.                  Rujukan Pekerja.
Kaedah ini juga tergolong dalam kaedah pengambilan luaran dimana pemohon telah dahulunya datang untuk memohon jawatan. Rujukan mereka akan disimpan untuk digunakan sekiranya ada jawatan yang sesuai bagi mereka. Kaedah ini biasanya digunakan dalam menggantikan beberapa calon yang telah diterima bekerja namun tidak dapat menghadirkan diri untuk lantiikan bertugas. Maka kekosongan jawatan dapat diatasi segera dengan kaedah ini.

e.                  Organisasi atau Badan Professional.
Penglibatan organisasi professional sedikit sebanyak telah membantu syarikat yang memerlukan kakitangan mendapatkan sumber manusia. Kebiasaannya, organisasi professional ini akan memberi perkhidmatan penyediaan kakitangan kepada syarikat yang memerlukan. Organisasi ini akan menerima bayaran daripada syarikat yang memerlukan tenaga buruh dan seterusnya gaji pekerja akan dibayar oleh organisasi professional ini. Badan professional ini bertanggung jawab memantau reputasi pekerja yang dibekalkan dan juga memberi latihan kepada pekerja agar dapat melaksanakan tugas sebagaimana yang diperlukan oleh syarikat yang membayar perkhidmatan. Kebanyakan kilang-kilang ada mengamalkan kaedah pengambilan luaran ini.

f.                    Pemohon yang Tidak Diundang / Tidak dimohon.
Pemohon-pemohon ini juga dikategorikan dalam kaedah pengambilan luaran. Ini termasuklah pemohon yang datang mencari kerja, pemohon yang menghantar surat, email dan telefon. Walaubagaimanapun, bilangan pemohon adalah bergantung kepada nama dan reputasi syarikat yang memerlukan tenaga kerja kerana daripada ini maka pemohon yang tidak diundang akan tertarik untuk memohon jawatan di syarikat tersebut.

 2.1       Kelemahan dan Kelebihan Pengambilan Luaran.
Sebagaimana pengambilan dalaman, kaedah pengambilan luaran juga mempunyai kelemahan dan kelebihan. Antara kelebihan yang terdapat pada kaedah pengambilan luaran ini adalah kumpulan pemonon adalah besar. Ini memudahkan syarikat untuk memilih dan mendapatkan tenaga manusia. Maka syarikat akan mempunyai kebarangkalian yang lebih baik di samping dapat meluaskan pemilihan calon. Selain itu, syarikat juga dapat memperolehi idea-idea baru yang mana dapat menyumbangkan kepada pembangunan inteletual dan kemahiran dalam syarikat tersebut. Pengurangan kepada rebutan jawatan di antara kakitangan dalam juga dapat diatasi. Ini memberi sedikit keharmonian dalam starikat tersebut. Kelebihan lain adalah ianya dapat mengelakkan pengambilan sesame sendiri iaitu seseorang yang mempunyai kuasa tidak berpeluang untuk mendapatkan pekerja yang ada kaitan dengannya. Kelemahan kaedah pengambilan luaran ini pula adalah lebih tertumpu dalam soal kos. Kos akan meningkat apabila tenaga kerja deperolehi daripada kaedah ini. Sebagai contoh, pengambilan pekerja melalui kaedah agensi pekerjaan, institusi akademik akan memerlukan pengeluaran kos yang tinggi dalam melaksanakan proses pengambilan. Kehampaan dan pengurangan motivasi pekerja dalaman akan berlaku sekiranya kaedah ini digunakan. Ini menjadi suatu kelemahan seandainya pihak pengurusan tidak dapat menangani moral pekerja sedia ada. 

Secara keseluruhan daripada keterangan dan huraian yang dinyatakan diatas maka kaedah pengambilan pekerja dapat diketahui bahawa ianya terbahagi kepada dua iaitu kaedah pengambilan luaran dan kaedah pengambilan dalaman. Setiap kaedah itu mempunyai kategori-kategori yang yang tertentu yang mana ianya dapat membantu mana-mana syarikat untuk memperolehi sumber tenaga kerja manusia. Walaubagaimanapun, setiap kaedah juga mempunyai kelemahan dan kelebihan tertentu dan ini adalah suatu risiko yang perlu dihadapi kepada syarikat seandainya ianya diimplentasikan. Maka terpulang kepada pihak pengurusan dalam melaksanakan yang terbaik bagi organisasi mereka

 By: Azikrie

6 thoughts on “Pengambilan Pekerja

  1. Penulisan ini adalah bersandarkan daripada beberapa buah buku yang dibaca. Ianya ditulis berdasarkan pemahaman saya terhadap beberapa bacaan saya. TK

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s